♠ Posted by IMM Tarbiyah in Pendidikan Islam at 10.22
Umat Muslim seharusnya memahami visi dan
citra Islami sebagai tujuan utama pendidikan atas sebab
prinsip-prinsip asas kehidupan terbit daripada al-Qur`an. Unsur-unsur
utama sistem pendidikan Islam adalah berdasarkan beberapa kata kunci
(key concepts)
seperti konsep agama (din);
konsep manusia (al-insan);
konsep ilmu pengetahuan (‘ilm
and ma’rifah); konsep
kebijaksanaan (hikmah);
konsep keadilan (‘adl);
konsep amal baik (‘amal or
adab); dan konsep universiti
(kulliyah—jami’ah).
Kesemua elemen utama ini merupakan manifestasi ‘pandangan alam
Islam’ yang terbit daripada wahyu dan telahpun dijelaskan sebelum
ini.
1.
Makna Pendidikan
Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan
‘pendidikan’? Secara umum, pendidikan bermaksud ‘suatu proses
menerapkan/menyuntik sesuatu terhadap manusia’ (a
process of instilling something into human being).
Berdasarkan definisi ini, ‘suatu proses menerapkan/menyuntik’ (a
process of instilling) merujuk
kepada kaedah atau metodologi dan sistem penyaluran pendidikan
(mekanisme). Manakala, ‘sesuatu’ (something)
pula merujuk kepada kandungan dan bahan yang ingin dimasukkan dan
manusia (human being)
merupakan penerima proses dan kandungan. Maka, pendidikan mengandungi
tiga unsur fundamental sepertimana yang dihuraikan tadi iaitu: (1)
proses, (2) kandungan, (3) penerima. (rujuk
lampiran – rajah 2)
Persoalannya,
bagaimana pendidikan sebagai proses penyaluran ilmu kepada manusia
berlaku? Apa kandungan ataupun ilmu yang diajarkan? Apa tujuan
pendidikan? Apa hasil yang bakal dikecapi oleh penerima kandungan
melalui proses pendidikan itu? Melihat suasana institusi pendidikan
dewasa ini, juga graduannya menimbulkan lebih banyak persoalan.
Apakah pendidikan hanya sebagai alat untuk mendapatkan profesyen yang
baik? Apakah matlamat institusi pendidikan yang sebenarnya, mendidik
atau mengaut keuntungan? Realiti pendidikan hari ini jelas tersasar
dengan keperluan insan dan tujuan asal pendidikan. Pendidikan telah
di’komoditi’kan, di’komersialisasi’kan dan di’politisasi’kan.
Siddiq Fadzil dalam kritikannya terhadap pendidikan masa kini
menyatakan:
“Masalah
yang kita hadapi sebenarnya bukan hanya kelesuan IPT, tetapi
dunia pendidikan keseluruhannya sedang ditimpa krisis. Sistem
pendidikan di pelbagai rantau dunia ketika ini sedang dipersoalkan
dari pelbagai sudut. Ada yang mempersoalkannya dari segi
biayanya yang terlalu tinggi melewati batas jangkauan majoriti
rakyat. Akibat komersialisasi yang bermotif mengaut keuntungan,
rakyat harus membayar mahal sedang kualitinya belum pasti.
Dengan ketiadaan biasiswa dan bantuan yang mencukupi biaya pendidikan
terbeban sepenuhnya di bahu ibu-bapa. Untuk itu mereka yang kurang
mampu akan terpaksa bergolok bergadai. Keadaan inilah yang meresahkan
masyarakat. Di Indonesia misalnya, telah terbit buku-buku
dengan judul bernada protes seperti, “Pendidikan Yang Memiskinkan”
dan “Orang Miskin Dilarang Sekolah”. Andainya
demokratisasi pendidikan mahu direalisasikan harus dipastikan semua
lapisan rakyat dapat menikmati pendidikan berkualiti dengan kos yang
terjangkau. Kegagalan melaksanakan dasar ini akan mewujudkan
keadaan survival of the richest, di mana pendidikan berkualiti
menjadi monopoli segelintir kaum elit.”
Al-Attas
– seorang yang begitu akrab dengan tradisi akhlak dan metafizik
tasawuf –mendefinisikan ‘pendidikan Islam’ sebagai:
“pengenalan
dan pengakuan, yang secara progresif diterapkan kepada manusia,
tentang kedudukan sebenar segala sesuatu menurut martabat
kejadiannya, dengan itu membawa kepada pengenalan dan pengakuan
tentang kedudukan/ martabat Tuhan menurut susunan kewujudan”
(recognition and
acknowledgement, progressively instilled into man, of the proper
places of things in order of creation, such that it leads to the
recognition and acknowledgement of the proper place of God in order
of being and existence).
Seperti yang telah dibincangkan sebelum
ini, konsep pendidikan dalam Islam terbit daripada pandangan alam
Islam yang mana ditayangkan daripada wahyu, manakala wahyu
ditafsirkan ulama` sebagai: “kalamullah
(kata-kata Allah) yang berkaitan Diri-Nya, makhluk-Nya, ciptaan-Nya,
hubungan antara mereka, dan saluran komunikasi dengan rasul-Nya,
dengan susunan kalimah mengikut kehendak-Nya, kemudian disebarkan
oleh rasul kepada manusia dalam bentuk linguistik yang
baharu lagi mudah difahami (bahasa Arab dengan makna yang dibaharu),
tanpa diganggu gugat oleh kekeliruan, subjektiviti mahupun imaginasi
kognitif rasul-Nya”.
2.
Konsep Ta`dib
Oleh sebab wahyu diturunkan dalam Bahasa
Arab, adalah signifikan untuk kita merujuk kepada perkataan seerti
bagi perkataan ‘pendidikan’ dalam bahasa Arab dan aplikasinya
yang sebenar. Maka, analisis terhadap perkataan harus diformulasi
berdasarkan makna sebagaimana yang difahami dalam citra Islami yang
asal, iaitu sebelum berlakunya gugahan atau ekspresi tanpa
justifikasi terhadap makna perkataan.
Antara keunikan Bahasa Arab ialah bahasa
ini dibangunkan di atas sistem kata akar yang kukuh (firm
system of roots) dan struktur
semantiknya yang dicakup oleh sistem lapangan semantik (semantic
field) yang jelas. Ini
menentukan struktur-struktur konsep yang merupakan asas dalam kosa
kata. Beberapa kalimah Arab digunakan bagi merujuk kepada
‘pendidikan’ seperti tarbiyah,
ta’lim,
ta`dib,
tahdhib,
tamrin,
dan tathqif. Tiga
kalimah utama sering digunakan merujuk makna pendidikan iaitu
tarbiyah,
ta’lim
and ta`dib.
Dalam penelitian ini, penulis membincangkan konsep ta`dib
dengan menentukan makna
sebenar ta`dib melalui pendekatan menghuraikan aspek sintaktik
perkataan dan struktur-lapangan semantiknya.
Makna asal perkataan ta`dib
ialah perbuatan menjemput ke majlis khas (banquet).
Ta`dib terbit
daripada kata akar a-d-b
yang juga menerbitkan perkataan adab.
Perkataan adab atau
perkataan yang terbit daripada kalimah adaba
disebut dalam hadith
Nabi Muhammad SAW. Perkataan-perkataan ini membawa maksud ‘perangai’,
‘tingkah laku yang baik’, dan ‘latihan, menjinakkan atau
suruhan berkelakuan baik’. Berdasarkan penelitian di atas, menurut
Nasrat Abd-Rahman, menyokong hadith nabi yang bermaksud, “Tuhanku
telah mendidik aku, maka elok/ cemerlanglah pendidikanku” (addabani
rabbi fa ahsana ta`dibi).
Dalam
leksikon Bahasa Arab, kalimah adab
diaplikasikan dalam dua bentuk
iaitu adab jiwa (adab al-nafs)
dan adab belajar (adab
al-dars). Al-Ghazali
menggunakan perkataan adab and
addaba dengan
menyemangati citra pendidikan yang komprehensif seperti katanya:
“sesungguhnya,
kelakuan yang paling tinggi dan sempurna, perbuatan yang paling baik
dan cantik adalah adab dalam agama yang mana melaluinya orang-orang
beriman mengikuti sifat ketuhanan dan tingkah laku para nabi dan
rasul. Tuhan telah mengajarkan kita (addabani)
dengan apa yang telah ditayang dan dijelaskan dalam al-Qur`an. Dia
juga mengajarkan kita (addabani)
dengan kehadiran pesuruh-Nya iaitu Nabi Muhammad SAW melalui hadith
Baginda. Sebegitu juga, kita harus mengikuti jejak para sahabat dan
pengikut mereka, juga mengikuti langkah orang-orang ahli adab (ahl
al-adab) dalam kalangan
mukmin”.
Menurut al-Attas, perkataan ta`dib
itu sendiri sudah merangkum dalam struktur konsepnya elemen-elemn
seperti ilmu pengetahuan (‘ilm),
pengajaran (ta’lim),
and penjagaan yang baik (tarbiyah).
Justeru, Ta`dib
dianggap sebagai perkataan yang paling tepat untuk memaknakan konsep
pendidikan dalam Islam. Hakikatnya, pendidikan sebagai ta`dib merujuk
kepada penerapan adab
terhadap manusia. Adab
termanifestasi dalam kesemua unsur fundamental pendidikan iaitu
‘proses’, ‘kandungan’, dan ‘penerima’. Ini juga
menunjukkan bahawa unsur utama ‘ilm
(ilmu pengetahuan) dan ‘aql
(intelek manusia) terkandung dalam perkataan ta`dib.
Seperti perbincangan sebelum ini,
pendidikan harus selari dengan realiti manusia kerana manusia adalah
‘penerima’. Dalam perbahasan falsafah, manusia diertikan sebagai
‘haiwan rasional’ (al-hayawan
al-natiq). ‘Natiq’
yang bermaksud ‘rasional’ merupakan fakulti dalaman manusia yang
memformulasi ‘makna’ (dhu
nutq)”. Manakala konsep
‘makna’ (ma’na)
adalah pengenalan terhadap tempat letak sesuatu dalam sistem yang
diketahui apabila hubungan sesuatu dengan sesuatu yang lain dalam
sistem berlaku dan difahami.
Artikulasi atau penampakkan
(articulation)
simbol linguistik kepada susunan bermakna (meaningful
pattern) merupakan ekspresi
luaran terhadap hakikat dalaman iaitu akal (‘aql).
‘Aql
ialah suatu perkara dalaman (an
innate property) yang memegang
dan menjalin objek-objek pengetahuan melalui perkataan-perkataan.
Dengan kata lain, makna perkataan dijana dan difahami oleh daya
akliah (cognitive power)
iaitu akal, yang membentuk dan menyampaikan isyarat-isyarat bermakna
(meaningful signs).
Disebabkan isyarat-isyarat bermakna ini dijana oleh akal yang
bersifat batin (dalaman), maka ia disampaikan atau diekspresikan ke
dunia luar melalui daya berbahasa atau daya pertuturan dan pemahaman
ini mendorong kepada tindakan jasmani.
Unsur lain pendidikan ialah
‘kandungan’ yang merujuk kepada ilmu pengetahuan. Ilmu
pengetahuan yang sebenar mengandungi pengenalan tentang tempat letak
sesuatu menurut martabat dan penciptaan-Nya, dan membawa kepada
pengenalan martabat Tuhan dalam susunan kewujudan.
Daripada perbincangan di atas, kita dapat
meringkaskan makna pendidikan (ta`dib)
dan adab seperti yang diringkaskan oleh Wan Mohd Nor Wan Daud,
sebagaimana berikut: (1) perbuatan mendisiplinkan jiwa dan
minda, (2) pencarian kualiti dan sifat jiwa dan minda, (3) perilaku
yang benar dan sesuai yang berlawanan dengan perilaku salah dan
buruk, (4) ilmu yang dapat menyelamatkan manusia, (5) pengenalan dan
pengakuan kedudukan sesuatu secara benar dan tepat, (6) suatu kaedah
mengetahui yang menghasilkan kedudukan sesuatu secara tepat dan
benar, (7) jelmaan keadilan (‘adl)
sebagaimana ditonjolkan oleh kebijaksanaan (hikmah).
Konsep
Ta`dib ini juga bukanlah satu teori yang bersifat utopia.
Konsep in telah teruji kerana
sejarah manusia telah membuktikan kejayaannya. Ini dapat dilihat pada
zaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabat, pada zaman Tabi’in dan
selepasnya, dan juga zaman kegemilangan tamadun dan peradaban Islam.
Justeru, ta`dib
harus dibugar semula dalam kehidupan masyarakat Islam hari ini.
Kesimpulan
Tamadun dan peradaban Barat sedang berkuasa dan mendominasi dunia
pada waktu ini. Sifat budayanya yang memaksa masyarakat lain untuk
menganut faham Barat berjalan melalui perlbagai kaedah termasuklah
‘globalisasi’. Berkali-kali ditegaskan, penulis tidak menderita
penyakit xenophobia tetapi bersikap tegas terhadap anasir
perosak ini. Jelas, remaja di Malaysia sudahpun merasai penderitaan
penyakit berkaitan jiwa sehingga memaksa perlakuan yang sama sekali
jauh daripada norma-norma ketimuran. Penyakit jiwa manusia ini telah
mendorong pelbagai perilaku yang menyalahi norma kemanusiaan. Dua
faktor utama masalah ini dikenal pasti, faktor dalam insan iaitu
kehilangan adab dan ditambahburukkan oleh faktor luaran yakni cabaran
kebudayaan Barat seperti globalisasi.
Hakikatnya, pandangan alam Islam adalah sama sekali berbeza dan
bertentangan dengan pandangan hidup Barat yang ditonjolkan melalui
globalisasi. Pandangan alam Islam adalah komprehensif dan integral
dan menunjukkan manusia nilai-nilai Islam yang hakiki. Manakala
pandangan hidup Barat bersifat rencam dan rancu sehingga menyebabkan
masyarakat Barat hidup dalam penderitaan mencari makna diri.
Psikologi jiwa manusia jelas menunjukkan hakikat kemanusiaan
berdasarkan fitrah yang Tuhan ciptakan.
Hasil
daripada sumber wahyu yang tulen dan terpelihara, intipati agama
Islam tidak mengalami perubahan sebagaimana yang berlaku dalam
agama-agama lain. Justeru, masyarakat Islam tidak sewajarnya
terikut-ikut dan hanyut dibawa arus globalisasi dan semboyan
perubahan dan kemajuan yang ditiup oleh Barat. Sebaliknya, sesuai
dengan makna al-din yang antara lain membawa maksud
‘pengembalian kepada fitrah asal yang tunduk kepada Tuhan’,
setiap tindakan dan pemikiran Muslim harus dilihat sebagai proses
pengembalian diri (raj’) melalui penghambaan diri
(‘ubudiyah) kepada Tuhan. Kedudukan Nabi Muhammad SAW
sebagai contoh tauladan akhlaqiyah yang kekal dan berterusan
kepada semua generasi umat Islam juga amat penting dalam menanggapi
isu-isu yang dicanang oleh Barat seperti kebebasan, akhlak, krisis
identiti, jurang generasi, perubahan dan kemajuan.
Konsep
ta`dib
sebagai pendidikan yang tulen sepatutnya diterap kembali dalam sistem
pendidikan remaja. Hakikat pendidikan semasa telah berubah daripada
fitrah pendidikan yang sebenarnya. Pendidikan hanya dilihat sebagai
sarana mendapat pekerjaan, dengan pekerjaan yang baik dapat mengumpul
harta benda keduniaan dan hidup akan bahagia. Sedangkan kebahagiaan
sebenar hanya akan terbit daripada jiwa yang tenang (al-nafs
al-mutma’innah).